Kekasih.
Sesungguhnya engkau memahami apa yang tersirat dalam kalbuku ini. Sesungguhnya engkau lebih mengerti akan gerak laku dan kata-kataku.
Kekasih.
Marilah kita mewarnai cinta kita ini bak pelangi, mempunyai tujuh warna. Setiap hari akan kami serikan dengan warna yang baru. Sememangnya setiap kali kita berjauhan, kejauhan itu mendekatkan kita.
Kekasih.
Aku insan yang tidak pandai bermain kata. Aku pasrah dengan apa yang ada. Aku tahu engkau akan menguji keikhlasanku dan akan terus mengujiku. Aku mengerti dan aku terima ujianmu itu. Ketabahanku ingin sekali engkau duga. Namun, percayalah bahawa selagi dikau berada di sisiku, tiada yang mustahil di dalam kamus hidupku.
Kekasih.
Jauh tetapi dekat. Dapatku merasai denyutan jantungmu yang berkobar-kobar. Dapatku merasai bisikan hatimu. Kasihku, tulisanku ini semata-mata gerakan hatiku. Aku mencurahkan isi hatiku kepadamu.
Kekasih.
Pernah dahulu aku fikir cinta itu hanya mainan semata-mata. Aku pernah berkata begitu kerana melihat manusia saling benci-membenci. Kini aku sedar, aku tidak boleh menegakkan kata-kataku itu. Manusia yang mengatakan mereka boleh hidup tanpa cinta adalah pendusta yang mudah merasa kecewa. Tidak elok kita bermegah atas dasar tidak memerlukan cinta. Adakah mereka tidak sedar bahawa cintalah yang telah membawa mereka ke dunia ini dan atas dasar cintalah akan kami dibawa pulang.
Kekasih.
Ubatilah hatiku yang sering merinduimu.